Monday, March 31, 2008

Pengertian Bid'ah Menurut Bahasa


PENGERTIAN BID'AH MENURUT BAHASA.

Definisi bid'ah menurut takrif etimologi diambil dari asal perkataan al-bida' (اَلْبِدَع) yang memberi makna atau maksud:

"Mencipta (atau mengada-adakan sesuatu pekerjaan, amalan, benda atau perkara) yang sama sekali tiada contoh atau misal sebelumnya".
[1]


Kalimah berasal dari perkataan:

(بَدَعَ - يَبْدَعُ - بِدْعًا) atau
(بَدَعَ - بِدَاعَةً - بَدُوْعًا) atau
(اَبْدَعَ - اِبْتَدَعَ - تَبَدَّعَ)

Kalimah atau perkataan di atas memberi erti: "Mencipta, mereka-reka, mengada-adakan, memulakan atau sesuatu yang baru (pertama-tama diadakan)".

Al-bid'ah (البدعة) juga nama yang diberikan ke atas perbuatan yang sengaja diada-adakan dan jamaknya bida' (بدع)
[2] atau apa yang dicipta dalam agama dan selainnya[3] dan sesiapa yang mengada-adakan sesuatu dia dianggap telah melakukan bid'ah. Dalam "Takrifat" pula ia ditetapkan sebagai setiap amal yang bertentangan dengan sunnah yang berupa sesuatu urusan yang diada-adakan.[4]

Berkata Imam ath-Thurthusi rahimahullah:

اَصْلُ هَذِهِ الْكَلِمَةِ مِنَ اْلاِخْتِرَاعِ ، وَهُوَ الشَّيْءُ يُحْدَثُ مِنْ غَيْرِ اَصْلٍ سَبَقَ ، وَلاَ مِثَالٍ احْتُذِيَ وَلاَ اُلِفَ مِثْلَهُ.

"Kata bid'ah berasal dari kata al-ikhtira' (اَلاِخْتِرَاع) iaitu sesuatu yang baru dicipta tanpa ada contoh sebelumnya, tiada misal mendahuluinya dan tidak pernah ada rekaan sepertinya (sebelumnya)".
[5]

Kalimah bid'ah terdapat di dalam al-Quran yang digunakan dengan penggunaan istilahnya yang paling tepat dan seiringan mengikut maksud serta pengertian yang dikehendaki oleh kalimah tersebut. Kenyataan ini dapat difahami melalui tiga potong ayat di bawah ini:

بَدِيْعُ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ.

"(Dialah) Pencipta segala langit dan bumi".
AL BAQARAH, 2:117

Penggunaan kalimah bid'ah pada ayat di atas adalah yang paling tepat sebagaimana yang dimaksudkan oleh pengertian kalimah bid'ah menurut bahasa kerana hakikatnya hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja Pencipta (melakukan bid'ah) hingga terciptanya langit, bumi dan segala-gala yang ada di alam ghaib atau di alam nyata.

Segala ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang sedia ada ini tidak pernah didahului oleh mana-mana contoh atau pencipta sebelum-Nya, hanya Dialah sahaja Pencipta yang mengadakan dan memulakan seluruh penciptaan yang terdapat di langit, di bumi, di alam dunia atau di alam akhirat yang sebelumnya tidak ada ('adam) kepada ada (mawujud).

Para ahli ilmu yang pakar atau mengetahui kaedah penggunaan tata Bahasa Arab akan lebih mudah memahami maksud dan pengertian bid'ah yang terdapat pada ayat di atas, yang terdapat di dalam hadis-hadis yang begitu banyak bilangannya dan yang banyak digunakan dalam pertuturan dan penulisan Bahasa Arab. Penggunaan bid'ah pada ayat di atas amat tepat baik secara bahasa (termasuk gaya bahasa) atau takrif syara. Ia ditafsirkan oleh para ahli ilmu:

أبدعت الشيء لا عن مثال

"Aku telah ciptakan (mengadakan) sesuatu tanpa ada misal (sebelumnya)."
[6]

Di ayat yang kedua pula Allah berfirman:

قُلْ مَا كُنْتُ بِدْعًا مِنَ الرُّسُلِ.

"Katakanlah (ya Muhammad!): Bukanlah aku seorang Rasul pembawa agama yang baru dari agama yang telah dibawa oleh para Rasul yang lalu".
AL AHQAF, 46:9.

Menurut Ibn Abbas radhiallahu 'anhu bid'ah yang dimaksudkan pada ayat di atas ialah "Yang Terawal."
[7] Ia ditakdirkan juga sebagai ucapan yang bermaksud: "Bukanlah aku ini pembuat bid'ah (sahibul bid'ah)."[8]


Yang paling jelas ayat di atas bermaksud dan bertujuan agar Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam memberi tahu kepada umatnya bahawa baginda bukanlah seorang Rasul yang bid'ah (yang baru) di dunia ini. Sudah ada Rasul-Rasul lain mendahului baginda sebelum baginda diutus menjadi Rasul. Inilah pengertian bid'ah sebagaimana yang dikehendaki oleh ayat (syara) dan dimaksudkan oleh bahasa iaitu:

"Bid'ah: Ialah sesuatu yang baru yang diada-adakan dan tidak ada contoh atau misal sebelumnya".

Oleh kerana baginda bukan merupakan seorang Rasul yang pertama dan baru kepada manusia maka baginda tidak dinamakan Rasul yang bid'ah menurut pengertian istilah bahasa dan syara kerana sudah ada contoh dan beberapa orang rasul sebagai pendahulu sebelumnya.

Dan di ayat ketiga Allah berfirman:

وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوْهَا

"Dan mereka sengaja mengada-adakan rahbaniyah".
AL HADID, 57:27.

Menurut penafsiran al-Hafiz Imam as-Syaukani rahimahullah tentang ayat di atas:

وَرَهْبَانِيَّةً مُبْتَدِعَةً مِنْ عِنْدِ اَنْفُسِهِمْ.

"Kerahiban yang mereka sendiri cipta (ada-adakan)".
[9]
Maka jika difahami pengertian bid'ah dari ketiga-tiga ayat al-Quran di atas maka ia memberi makna atau maksud:

"Sesuatu yang baru, yang tidak ada misal (contoh) sebelumnya, yang diada-adakan dan yang direka cipta".

Bid'ah menurut bahasa (لُغَةً) juga telah didefinisikan oleh kalangan ulama fiqah yang muktabar:

كُلُّ عَمَلٍ عَلَى غَيْرِ مِثَالٍ سَابِقٍ

"Setiap amalan (perbuatan atau pekerjaan) yang tiada contoh sebelumnya".
[10]

Bila dikatakan: (اِبْتَدَعَ فُلاَنٌ بِدْعَة) "Telah mencipta si Fulan satu cara/jalan" bermakna cara/jalan ciptaan si Fulan tidak pernah ada contoh sebelumnya. Menurut Ali Hasan pula bid'ah ialah:

وَهَذَا اْلاِسْمُ (يَعْنِى : اِلْبِدْعَةُ) يَدْخُلُ فِيْمَا تَخْتَرعُهُ الْقُلُوْبُ وَفِيْمَا تَنْطِقُ بِهِ اْلاَلْسِنَةُ وَفِيْمَا تَفْعَلُهُ الْجَوَارِحُ.

"Dan yang boleh dikategorikan dalam bid'ah, termasuklah sesuatu yang dilakukan oleh hati, yang dipertuturkan oleh lisan dan yang dilakukan oleh tubuh badan".
[11]

Takrif yang ringkas ini amat jelas, mudah dihayati dan difahami, oleh itu tidak perlu dikupas atau diberi penghuraian dengan panjang lebar.



----------------------------------------------------------------------------------



[1]. Lihat: الاعتصام للشاطبي. Jld. 1. hlm. 36.
[2]. Ibid. Hlm. 57.
[3]. Lihat: العين. Jld. 2. Hlm. 55.
[4]. Lihat: التعريفات hlm. 43.
[5]. Lihat: الحوادث والبدع hlm. 40 ath-Thurthusi (Tahqid Ali Hasan).
Diterbitkan oleh Dar Ibn al-Jauzi.
[6]. Lihat: جامع البيان عن تأويل آي القرآن Jld 1 Hlm. 709. Ibn Jarir at-Tabari
[7]. Lihat: الجامع لأحكام القرآن ، القرطبى. Juz. 16. Hlm. 180.
[8]. Ibid.
[9]. Lihat: فتح القدير. Jld. 5. Hlm. 178.
[10]. Lihat: البدعة تحديدها وموقف الاسلام منها. Hlm. 157. 'Izat Ali Atiah.
[11]. Lihat: علم اصول البدع hlm 23. Ali Hasan. Daar ar-Rayah. Cetakan
kedua.